Nampaknya usaha Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSFD) telah membuahkan kejayaan apabila atlet-atlet Pekak Malaysia menggondol dua butir pingat dari Sukan Deaflympics ke-21 yang berakhir pada hari ini.
Kejayaan ini merupakan satu kejutan kepada penulis kerana secara peribadi penulis pernah meramalkan bahawa Malaysia akan mengutip satu pingat sahaja menerusi acara badminton.
Jelaslah bahawa Malaysia telah menghantar atlet Pekak mengambil bahagian dalam dua acara sukan, iaitu badminton dan boling tenpin dan akhirnya berjaya melakukan 'penyapuan' bersih dalam kedua-dua acara tersebut.
Jaguh boling Pekak negara, Mohd Zaidi Awang mengutip pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki. Dalam acara master lelaki, beliau hanya menduduki tempat yang keempat, iaitu peningkatan sebanyak satu tangga daripada pencapaian beliau di Sukan Deaflympics Melbourne 2005.
Pemain badminton beregu negara, Teh Cheang Hock dan Yeo Kok Fang terpaksa berpuas hati mencapai pingat perak selepas tewas mengejut kepada beregu muda dari Rusia yang bukan pilihan utama, Karpov Artemy Mikhailovich dan Efremov Mikhail Alexandrovich dengan keputusan 16-21 dan 21-23.
Pingat perak diraih oleh pemain beregu badminton, Teh Cheang Hock (kiri) dan Yeo Kok Fang (keempat) bersama jurulatih Mohamed Iqbal Yusoff.
Harapan untuk menambah satu lagi pingat gangsa musnah apabila Teh Cheang Hock ditewaskan oleh pemain remaja China, Lu Guangyao, 19 tahun (21-15,13-21,19-21) dalam acara perseorangan lelaki untuk merebut tempat ketiga.
Sekiranya beliau tidak bertembung dengan Rajeev Bagga, jaguh badminton Pekak dunia dari Great Britian dalam perlawanan peringkat separuh akhir (keputusan 21-15, 21-19), sudah pasti beliau akan meraih pingat emas atau perak.
Mohd Zaidi Awang, Teh Cheang Hock dan Yeo Kok Fang tetap dikenang sebagai wira Pekak negara yang terhebat dalam sejarah sukan Pekak tanah air kerana mereka telah berjaya menunjukkan daya bertarung yang tinggi sehingga membawa pulang dua butir pingat Deaflympics, pingat tertinggi yang menjadi rebutan atlet Pekak dari seluruh dunia.
Penulis difahamkan bahawa mereka telah menjalani latihan yang singkat selama sebulan sebelum temasya sukan Deaflympics bermula. Mujurlah tumpuan mereka tidak terganggu oleh kesulitan pihak MSFD dalam mencari bantuan kewangan untuk menanggung kos kem latihan dan penghantaran kontinjen negara ke Taiwan.
Walau bagaimanapun mereka merupakan jaguh negara yang telah berumur. Sememangnya faktor usia bukanlah penghalang untuk mencapai kejayaan dalam lapangan sukan seperti yang telah dibuktikan oleh Mohd Zaidi Awang dan Teh Cheang Hock.
Mohd Zaidi Awang pemenang pingat gangsa dalam acara boling tenpin perseorangan lelaki.
Apa yang jelas ialah sikap dan harapan pihak MSFD yang terlalu bergantung pada kekuatan jaguh bermuka lama. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya mereka memilih persaraan pada masa yang akan datang dan muka baru yang berbakat demikian tidak ditemui.
Pada hemat penulis, pihak MSFD perlu melakukan sesuatu usaha secara proaktif dengan segera untuk mencari bakat yang baru dan setanding dengan wira-wira Pekak tersebut sebagai persiapan awal dalam jangka masa panjang untuk menghadapi Sukan Deaflympics ke-22 di Athens, Greek pada tahun 2013.
Penulis difahamkan bahawa pihak MSFD akan berusaha mendapatkan sesuatu insentif ataupun ganjaran berupa wang tunai daripada Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai menghargai kemenangan wira-wira negara tersebut.
Perlu dijelaskan bahawa skim hadiah kecemerlangan sukan yang diwujudkan pada masa ini hanya dikhaskan kepada atlet Paralimpik sahaja. Justeru pihak MSFD akan memainkan peranan dalam perkara ini untuk memastikan kesamarataan hak-hak atlet Pekak negara akan tercapai secara saksama.
Kontinjen Malaysia akan pulang ke negara ini pada 16 September 2009 dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 1.00 tengah hari dengan penerbangan China Airlines CI721. Para pembaca yang mempunyai masa lapang boleh turun ke KLIA dan menyambut kepulangan mereka sebagai menyokong dan meraikan kejayaan mereka.