Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam

Wira-wira Deaflympics Negara bersama Dato Dr Ramlan Abd Aziz, Ketua Pengarah ISN.
Deaflympics Taipei - Wira-wira Malaysia selamat mendarat di KLIA
Oleh Amir Hamidi
17 September 2009

Oleh sebab keinginan untuk melihat Jalur Gemilang berkibar di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) semakin tinggi, penulis mengambil keputusan untuk menaiki ERL dari Putrajaya ke KLIA.

Jalur Gemilang itu ada kaitan dengan Hari Penubuhan Malaysia pada tarikh itu (semalam) dan kejayaan atlet Pekak Malaysia dalam Sukan Deaflympics ke-21 Taipei 2009.

Selepas itu, penulis berkejar ke balai ketibaan dan bersatu dengan kumpulan peminat sukan Pekak yang sedang menunggu kepulangan wira-wira Pekak negara dari Taipei, tempat Sukan Deaflympics berlangsung.

Tetamu-tetamu jemputan yang tiba semakin ramai. Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Dato Dr Ramlan Abd Aziz dan para pegawai kerajaan dari KBS, ISN, MSN dan YAKEB.

Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Sidney Tung dan wakil-wakil dari Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) juga menghadirkan diri bersama Presiden MSFD, Kamarzaman bin Harun.

Kehadiran ramai tetamu yang berprofil tinggi menyebabkan Timbalan Presiden MSFD, Phillip Pong Chang Khim kelihatan berasa gelisah. Puncanya ialah ketiadaan pemberita dan wartawan yang datang walaupun dikatakan telah dijemput dan dimaklumkan.

Ekoran daripada itu, penulis menjadi sasaran terakhir dan diminta supaya membuat liputan berita ringkas mengenai acara menyambut kontinjen negara anjuran MSFD di KLIA.

Penulis sempat bertemu ramah dengan beberapa pemenang pingat Deaflympics dan pegawai kontinjen.

"Pertarungan dengan beregu dari Rusia dalam perlawanan badminton peringkat akhir merupakan satu perkara yang bukan mudah dan tidak dapat dijangka. Mereka (Rusia) telah berjaya melakukan persembahan yang terbaik dan tercemerlang," kata Yeo Kok Fang, pemenang pingat perak dari Melaka.

"Bulan Ramadan benar-benar telah memberi saya kekuatan untuk meraih pingat gangsa buat kali pertama selepas cubaan saya gagal dalam kedua-dua Sukan Deaflympics yang pernah saya sertai dahulu," kata Mohd Zaidi Awang, jaguh boling tenpin Pekak negara.

"Penganjuran Sukan Deaflympics di Taipei merupakan persembahan yang paling indah dan berkelas dunia pernah saya saksikan. Saya amat hormati kehebatan tuan rumah yang sentiasa memastikan para peserta lebih selesa dan tidak ada masalah seperti pengangkutan. Demam Deaflympics lebih kuat terasa dengan iklan dan promosi yang terlalu banyak dan meluas di seluruh kota raya Taipei," kata Lim Anuar, Setiausaha Agung MSFD.

Tulisan di bawah ialah berita yang didraf dan dijangka akan dihantar oleh pihak MSFD kepada syarikat-syarikat media dan akhbar tempatan.

Kontinjen Deaflympics negara membawa pulang dua pingat

Oleh Amir Hamidi bin Abdul Manan

SEPANG, 16 September - Kontinjen atlet Pekak (OKU Pendengaran) Malaysia selamat pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.40 tengah hari ini selepas menyertai temasya Sukan Deaflympics ke-21 di Taipei, Taiwan pada 5 September hingga 15 September.

Kontinjen Malaysia yang diuruskan oleh Persekutuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSFD) dan melibatkan empat orang atlet Pekak hanya mengambil bahagian dalam dua jenis sukan, iaitu badminton dan boling tenpin.

Malaysia berjaya menggondol dua butir pingat, iaitu pingat perak dalam acara badminton beregu lelaki dan pingat gangsa dalam acara boling tenpin perseorangan lelaki.

Pemain badminton beregu lelaki negara, Teh Cheang Hock dan Yeo Kok Fang meraih pingat perak selepas ditewaskan oleh pemain beregu dari Rusia dalam perlawanan peringkat akhir dengan keputusan 16-21 dan 21-23.

Mohd Zaidi bin Awang muncul sebagai pemenang pingat gangsa dalam acara boling tenpin perseorangan lelaki dengan catatan 1,188 jatuhan pin di belakang Amerika Syarikat (emas) dan Korea Selatan (perak).

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Dato Dr Ramlan Abd Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berada di KLIA untuk menyambut kepulangan wira-wira Pekak negara tersebut.

Yang turut berada bersama mereka ialah Presiden MSFD Kamarzaman bin Harun, Setiausaha Agung Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) Sidney Tung dan wakil-wakil dari Tabung Kebajikan Atlit Kebangsaan (YAKEB) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

"Selamat pulang ke Malaysia dan tahniah kerana anda telah berjaya menunjukkan daya saing yang tinggi dengan bersungguh-sungguh dan membawa pulang pingat perak dan gangsa dari Sukan Deaflympics," kata Dato Dr Ramlan Abd Aziz.

"Kami bagi pihak MSFD sebagai pemegang mandat komuniti sukan warga Pekak sedang berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi terhadap Sukan Deaflympics dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) sebagai kejohanan sukan yang tersendiri dan diberikan layanan yang wajar dan sama dengan Sukan Paralimpik," kata Kamarzaman Harun, Presiden MSFD.

Sukan Deaflympics ialah salah sebuah daripada empat kejohanan sukan terbesar dunia termasuk Sukan Olimpik dan dikhaskan untuk atlet Pekak dan kurang upaya pendengaran.

Di Taipei, temasya Sukan Deaflympics ke-21 telah disertai oleh 2,670 orang atlet dan pegawai kontinjen dari 80 negara dan mempertandingkan 20 jenis sukan.

Selamat Pulang dan Tahniah.
Bergambar beramai-ramai.
Cenderahati disampaikan oleh Presiden MSFD.
Mohd Zaidi bergaya dengan pingat gangsa.

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 117
Pelawat Semalam: 136
Jumlah Pelawat: 79521
 
© 2004-2009 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.