Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam
Menteri Besar Perak — teka-teki berakhir
Oleh Amir Hamidi
9 Februari 2010
Meluangkan masa mengikuti perkembangan terkini.

Dalam perjalanan ke kafeteria untuk membeli makanan tengah hari pada hari ini tadi, penulis tertarik oleh satu perhimpunan lalu singgah di Istana Kehakiman yang tidak jauh dari rumah penulis.

Perhimpunan yang diperhatikan ialah kumpulan manusia yang melepak di pekarangan bangunan Mahkamah Persekutuan itu. Jumlah kumpulan itu dianggarkan kira-kira 800 orang.

Kumpulan itu terdiri daripada penyokong parti politik, pemerhati, wartawan dan pasukan polis. Mereka mengikuti persidangan mahkamah itu dan menunggu keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah.

Penulis tidak menyertai salah satu kumpulan yang menyokong pemimpin negeri Perak, iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak ataupun Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dari parti PAS.

Namun penulis mula berminat dengan perkembangan itu dan melupakan hasrat yang asal itu kerana ia ada berkaitan dengan asal usul penulis dari negeri Perak dan tanggungjawab penulis yang pernah mengundi dalam pilihan raya umum yang lepas.

Masa yang bersejarah itu dicuri dengan merakam gambar-gambar digital yang menceritakan perjalanan perhimpunan itu dan kepelbagaian gelagat yang ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan itu dengan harapan agar keputusan mahkamah itu akan menyebelahi salah satu pihak.

Kumpulan penyokong Dr Zambry diawasi dengan ketat oleh pasukan FRU.

Kekecohan dan perang mulut antara mereka telah dileraikan oleh pasukan polis dengan bantuan anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lalu diasingkan ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri di hadapan laluan bertangga ke bangunan itu.

Malangnya penulis tidak dapat menangkap apa-apa maklumat secara langsung kerana peristiwa itu sedang berjalan dalam komunikasi lisan yang sudah tentu amat asing dalam kehidupan warga Pekak seperti penulis.

Selepas beberapa minit, kumpulan penyokong yang berbaju kuning dengan tertulisnya "Daulat Tuanku" bangun beramai-ramai lalu mengangkat tangan dan menjeritkan sesuatu yang tidak difahami.

Antara kumpulan itu kelihatan pemimpin-pemimpin politik dan pertubuhan yang lain berdakap-dakapan dan saling berjabat tangan seperti merayakan kejayaan. Peguam-peguam yang mewakili pihak mereka kemudian muncul dan diraikan dengan asakan pemberita dan jurukamera.

Barulah penulis mengetahui bahawa Menteri Besar Perak yang sah dan terus dikekalkan ialah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Demikianlah keputusan yang telah dibuat dengan muktamad dalam penghakiman terakhir dan diterjemahkan kepada sambutan kemenangan tersebut.

Hal ini bermakna bahawa Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah melakukan sesuatu yang benar dengan penuh kebijaksanaan dan keberanian dalam usaha menangani kerumitan perubahan tampuk pemerintahan terdahulu dengan melantik Menteri Besar Perak dari Barisan Nasonal selepas Pakatan Rakyat mengalami kekurangan sokongan majoriti.

Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar tersenyum bersama isterinya selepas rayuan beliau tidak berjaya.

Sebagai Presiden Persatuan Orang Pekak Perak (PSD), penulis berharap agar krisis politik dan pertikaian jawatan Menteri Besar di negeri Perak berakhir dengan segera berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan. Semua pihak diharapkan menerima dan tidak mempertikaikan semula keputusan mahkamah tersebut.

Tidak dinafikan fakta yang benar bahawa pihak PSD pernah menerima bantuan daripada kedua-dua Menteri Besar Perak baik dari Barisan Nasonal (Dr Zambry) mahupun Pakatan Rakyat (Ir Mohammad Nizar) untuk menjalankan program aktiviti sewaktu zaman pimpinan mereka di Perak.

Kestabilan politik dalam jangka masa panjang amat penting kepada PSD, lebih-lebih lagi komuniti Pekak Perak di bawah naungan PSD benar-benar mengharapkan keprihatinan Kerajaan Perak yang tidak terjejas oleh krisis perlembagaan sekali gus dibawa menikmati pembangunan bersama dalam suasana yang makmur dan harmoni.

Zambry kekal Menteri Besar Perak

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebentar tadi.

Keputusan sebulat suara itu (5-0) dibacakan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria.

Selain Ariffin, keputusan menolak rayuan Mohammad Nizar itu disokong oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Dalam penghakiman itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan antara lain Nizar hilang jawatan Menteri Besar Perak sebaik saja dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang Adun DAP keluar daripada parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional.

Ariffin berkata, tidak wujud dua Menteri Besar Perak ketika itu seperti yang didakwa Nizar kerana pelantikan Zambry dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, berpuashati dengan sokongan semua Adun BN dan tiga Adun Bebas yang memberi kepercayaan kepada Zambry sebagai Menteri Besar.

Berhubung undi tidak percaya yang didakwa Mohammad Nizar perlu dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN), Ariffin berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan penghakiman Mahkmah Rayuan sebelum ini bahawa sokongan boleh diperolehi tanpa perlu diadakan sidang DUN.

Katanya, begitu juga jika hari ini Mohammad Nizar mempunyai sokongan majoriti, beliau boleh mengadap Sultan Perak mengemukakan bukti mendapat sokongan untuk dilantik menjadi Menteri Besar.

Panel hakim itu telah menangguhkan penghakimannya pada 5 November tahun lalu setelah selesai mendengar hujah peguam yang mewakili Dr Zambry dan Mohammad Nizar dalam kes berkenaan.

Rayuan itu dibuat Mohammad Nizar dalam cubaan terakhirnya mendapatkan semula jawatan Menteri Besar selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, pada 4 Februari 2009 menitahkan Adun Pasir Panjang itu melepaskan jawatan selepas mendapati beliau tidak memperoleh majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

Pada Mei tahun lalu, dalam keputusannya, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah mengikut perlembagaan.

Sumber : Berita Harian, 9 Februari 2010

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 66
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115932
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.