Assalamualaikum En. Amir,
Saya telah teliti tulisan Encik Amir mengenai BIM dan KTBM dan mendapati bahawa pendapat Encik Amir tepat dan amat menarik. Saya banyak bersetuju dengan pendapat Encik Amir dan tidak salah jika saya katakan bahawa En. Amir adalah antara bilangan yang kecil orang pekak yang masuk dalam orang kumpulan cerdik pandai yang terdapat di Malaysia.
Malaysia ada ramai orang cerdik tetapi di kalangan orang pekak tidak begitu ramai. Mengapa pendapat saya sedemikian? Terutama bahasa yang digunakan oleh Encik Amir amat tinggi jika dibandingkan dengan orang pekak yang lain. Mungkin ini juga menyebabkan pencapaian akademik Encik Amir lebih tinggi. MENGAPA? Mungkin En. Amir telah boleh menguasai bahasa Malaysia/Melayu sejak awal lagi.
Pendapat Encik Amir tentang kekuatan BIM dan KTBM amat tepat sekali. Saya telah terlibat dengan pendidikan untuk orang pekak selama 46 tahun dan ini bukan kemegahan sekiranya pengalaman saya setakat mengajar sahaja. 46 tahun bukan angka yang kecil dan pengalaman saya bukan setakat mengajar di satu sekolah sahaja.
Dalam masa 46 tahun saya telah mempelajari dengan lebih mendalam mengenai orang pekak terutamanya di Malaysia. Orang pekak di Malaysia berbeza daripada orang-orang pekak di negara-negara yang lebih maju dari segi:
- Penerimaan ibu bapa dan keluarga.
- Masyarakat yang sentiasa 'KASIHAN' terhadap orang pekak dan akan menerima segala rintihan orang pekak dan sanggup menerimanya tanpa pengetahuan yang tepat.
- Pengetahuan dan komitmen yang lemah/kurang bagi mereka yang terlibat dengan pendidikan untuk orang pekak.
- Orang pekak sendiri yang lebih mementingkan isu-isu Bahasa Isyarat dan bukan berusaha untuk mempertingkatkan pencapaian ilmu dan pengetahuan melalui bahasa rasmi atau bahasa ilmu.
Saya akan kemukakan sendiri mengapa kegunaan KTBM adalah tidak tepat melalui kertas kerja yang telah saya sediakan tentangnya. Saya mohon maaf sekiranya saya ada menyinggung perasaan En. Amir dalam utusan saya ini tetapi percayalah saya masih lagi ingin melihat ramai lagi orang pekak berkelulusan tinggi seperti Encik Amir sebelum saya hilang di dunia ini.
Salam
Saadiah Ahmad
Pengetua Sekolah Kanak-kanak Pekak Selangor
Kelana Jaya, Petaling Jaya.
E-mel bertarikh 30 Julai 2009
Jawapan:
Salam Puan Saadiah Ahmad.
Terima kasih atas penjelasan puan yang panjang lebar dan amat bermakna. Seperti yang ditulis, sesetengah pandangan penulis mengenai KTBM dan BIM tidak muktamad dan bersandarkan pemerhatian dan kajian yang penulis jalankan sendiri.
Oleh yang sedemikian penulis bersedia mengalu-alukan mana-mana teguran dan kritikan membina terhadap segala tulisan ini. Ia akan mengembangkan wadah perbincangan ini untuk bertukar-tukar pengetahuan baru mengenai pendidikan dan bahasa isyarat.
Sebenarnya penulis kurang selesa dengan gelaran cerdik pandai Pekak yang diberi hanya kerana ia lebih berdasarkan ijazah universiti yang dipegang dan kekuatan di atas kertas (penulisan) menurut pandangan para pembaca dan rakan-rakan.
Walau bagaimanapun penulis percaya bahawa di sekeliling kita terdapat ramai cerdik pandai Pekak yang 'tersorok'. Kebanyakan antara mereka terdiri daripada golongan yang berkelulusan akademik yang rendah dan tidak mempunyai kemahiran penulisan yang bermutu tinggi.
Seperti warga berpendengaran normal, mereka mempunyai akal dan kebolehan untuk menganalisis dan mengupas sesuatu isu semasa mengikut cara tersendiri. Malangnya mereka menghadapi halangan untuk menterjemahkan idea yang hebat belaka secara visual kepada tulisan dan esei dalam bahasa kebangsaan. Idea dan buah fikiran mereka hanya boleh diturunkan dan difahami melalui bahasa isyarat sahaja.
Bagaimanapun tiada pihak lain yang tampil menyediakan 'pentas' untuk membolehkan penyebarluasan pengetahuan mereka melalui medium bahasa isyarat kepada masyarakat umum termasuk kerajaan dan ahli-ahli akademik. Mereka yang berstatus pemikir Pekak berkualiti dipinggirkan manakala pemimpin tertentu lebih mengutamakan namanya untuk ditonjolkan di merata-rata dan menunjukkan beliaulah yang membuat kerja ini dan kerja itu.
Mengenai KTBM yang dikatakan kurang tepat, penulis akan menyelidiki semula tulisan yang terdahulu dan bersedia meneliti kertas kerja puan sekiranya ada. Perbincangan bersangkutan pendidikan untuk warga Pekak termasuk bahasa isyarat akan diteruskan dalam blog ini.
Sekali lagi terima kasih atas kesudian puan untuk mengemukakan pandangan dalam blog ini berdasarkan keluasan pengalaman puan dalam pendidikan kanak-kanak Pekak.