Pena Diam Budaya Pekak Gebang Kopi Nota Kembara Dewan Bait
Pena Diam - Blog Pekak
Pena Diam » Bahasa Isyarat
Pena Diam
Cetak halaman artikel ini
Bahasa isyarat difitnah punca kemunduran Pekak
Oleh Amir Hamidi
5 September 2012

“Sistem bahasa isyarat sedia ada sudah lapuk dan tidak efektif untuk membawa golongan pekak sebaris masyarakat normal”.

Kenyataan di atas yang dihebahkan oleh akhbar Harian Metro yang bertarikh 4 September dianggap kontroversi dan menarik perhatian penulis untuk mengulas isu tersebut dalam tulisan ini.

Kebanyakan warga Pekak yang mencintai bahasa isyarat pasti terkejut dan kecewa dengan laporan akhbar tersebut yang berwawancara dengan Guru Besar Pusat Pertuturan Kiu (PPK), Roslina Ahmad.

Guru besar tersebut mencadangkan agar kaedah pertuturan kiu menggantikan bahasa isyarat dalam sistem pendidikan khas dengan alasan bahawa bahasa isyarat merupakan kaedah yang lapuk dan perlu dipersalahkan sebagai punca berlakunya pelbagai masalah dalam kalangan komuniti Pekak.

Penulis berpendapat bahawa kenyataan tersebut merupakan kesilapan terbesar pemimpin pendidikan khas yang menjawat guru besar berikutan serangan tidak berasas terhadap martabat bahasa isyarat sebagai bahasa yang sebenar bagi warga Pekak di seluruh dunia.

Hujah tersebut didapati daif, subjektif dan menggambarkan tahap kesarjanaan dan keilmuan yang rendah apabila faktor penggunaan bahasa isyarat cuba dikaitkan dengan kegagalan hak, masalah interaksi umum, kejahilan agama dan gejala keruntuhan moral.

Bukan sahaja hal sedemikian malahan juga beliau dilihat berusaha secara halus untuk menanam dan menyuburkan perasaan kurang yakin terhadap kehebatan bahasa isyarat dan mewujudkan ketakutan terhadap dunia Pekak yang dikatakan merugikan.

Sebenarnya penulis tidak menentang kaedah pertuturan kiu dan menghormati kebebasan mereka yang ingin menuturkan bahasa kebangsaan melalui kaedah tersebut.

Yang perlu ditentang habis-habisan ialah keangkuhan sikap dan pendirian segelintir pihak yang memfitnahkan bahasa isyarat sebagai tidak berkesan, kuno dan sebagainya.  

“Masalah kedua pula ialah hubungan kemasyarakatan dan hak bersama golongan pekak amat jauh daripada masyarakat normal. Ini kerana mereka hanya dapat berkomunikasi dengan orang yang tahu berbahasa isyarat.”

Permasalahan sedemikian menyatakan bahawa bahasa isyarat yang digunakan menghalang komunikasi dengan masyarakat normal. Sebenarnya kesulitan tersebut boleh diatasi oleh pelbagai cara termasuk jurubahasa isyarat dan teknologi komunikasi.

Perlu diterangkan bahawa kaedah pertuturan kiu sebenarnya tidak menjamin kelancaran komunikasi dua hala antara warga Pekak dengan warga berpendengaran normal. Hal ini berdasarkan pengalaman penulis yang memerhati kawan-kawan Pekak yang bertutur kiu seperti Tengku Nur Carmeela dan lain-lain.

Keberkesanan komunikasi tersebut akan ditentukan sama ada dua hala atau satu-satunya hala oleh kebolehan individu Pekak sendiri yang bertutur dengan baik dan juga keperluan individu bukan Pekak untuk menguasai kaedah tersebut terlebih dahulu.

Hal ini bermakna bahawa warga Pekak yang bertutur kiu akan juga mendepani masalah dengan seseorang bukan Pekak dalam komunikasi terbuka seperti ceramah, syarahan dan lain-lain kecuali mereka mempunyai alat bantu pendengaran ataupun kemahiran membaca gerakan bibir orang.

Dapat disimpulkan bahawa masalah di atas setanding dengan masalah penggunaan bahasa isyarat namun akhbar tersebut tidak mendedahkan perbezaan situasi yang sebenar bagi masalah kedua yang dilaporkan di atas.

Penulis mengangkat tabik kepada artikel pertama dalam akhbar Metro Ahad bertarikh 2 September yang mengisahkan kejayaan golongan bekas pelajar Pekak yang bertutur kiu tetapi masih berbangga dengan bahasa isyarat.

Artikel kedua bertarikh 3 September wajar diberikan pujian kerana Penyelia Pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kiu Pendengaran, Rohimah Alias yang merupakan ibu kepada Tengku Nur Carmeela hanya menceritakan keistimewaan PDK tersebut tanpa mengusik-usik kepentingan bahasa isyarat.

Bagaimanapun kedua-dua artikel tersebut telah dicalarkan oleh artikel terakhir bertarikh 4 September yang mencanangkan kelapukan sistem bahasa isyarat sekali gus menimbulkan kemarahan ribuan warga Pekak dan para pemimpin Pekak di negara ini.

Akhir sekali, penulis menyarankan bahawa mana-mana kenyataan yang jelas menghina martabat bahasa isyarat hendaklah dihentikan serta-merta dan diadakan dialog untuk menjernihkan kekalutan yang berlaku.

Pada masa yang sama, sebarang usaha pemerkasaan kaedah pertuturan kiu juga tidak perlu dipersoalkan dan diberikan laluan alternatif walaupun bahasa isyarat telah lama berakar dengan kukuh di bumi Malaysia.

Kaedah sekarang lapuk
Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran menyemak semula sistem pendidikan khas untuk orang pekak atau cacat pendengaran untuk mengelak golongan ini terus tercicir.

Tindakan drastik seperti merombak sistem sedia ada dilihat antara pilihan terbaik bagi memberi ruang kaedah atau teknik pembelajaran baru lebih mantap diserapkan.

Ini berikutan sistem bahasa isyarat sedia ada sudah lapuk dan tidak efektif untuk membawa golongan pekak sebaris masyarakat normal. Ada kepincangan pada sistem itu yang perlu diperbaiki agar komunikasi dua hala antara orang pekak dan normal berjalan dengan telus.

Masalah kedua pula ialah hubungan kemasyarakatan dan hak bersama golongan pekak amat jauh daripada masyarakat normal. Ini kerana mereka hanya dapat berkomunikasi dengan orang yang tahu berbahasa isyarat. Masalah bertambah rumit apabila jumlah jurubahasa isyarat amat kurang.

Kedua-dua masalah ini seterusnya menyumbang kepada keampuhan jati diri dan seterusnya menyebabkan golongan pekak mula membina dunia mereka sendiri yang terpisah daripada masyarakat normal.

Kesan daripada kedua-dua masalah itu, mereka gagal dalam mendapatkan hak seperti berurusan dengan sektor awam, mengakses maklumat, hak menyuarakan pendapat, hak membuat pilihan dan hak mendapatkan keperluan asas.

Paling menyedihkan golongan pekak yang beragama Islam tidak dapat mendalami agama Islam dengan baik. Tidak menghairankan jika dikaji terdapat banyak kes yang berkaitan salah laku akhlak, masalah perkahwinan dan perceraian, murtad dan hal-hal lain yang berkaitan agama Islam berlaku di kalangan warga pekak di Malaysia.

Berikutan itu, penggunaan kaedah Kiu antara pilihan terbaik bagi menggantikan sistem pendidikan khas golongan pekak sedia ada. Selain diajar menulis, membaca dan mengira, murid dan pelajar pekak mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran walau dengan sebutan yang sedikit ganjil menerusi penggunaan kaedah itu.

Guru Besar Pusat Pertuturan Kiu (PPK), Roslina Ahmad, 50, berkata, pihak kementerian sepatutnya lebih arif membuat penilaian baik buruk kaedah Kiu.

“Masalah komunikasi dengan masyarakat normal menyebabkan orang pekak kehilangan hak untuk sama-sama merasai nikmat hidup. “Seperti manusia biasa, orang pekak juga mempunyai kehidupan seharian. Daripada aspek pendidikan, kerajaan sudah menyediakan kemudahan seperti sekolah pendidikan khas, sekolah integrasi dan juga guru yang mengajar bahasa isyarat kepada mereka, tetapi tekniknya perlu diperkasakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/04
Sumber: www.hmetro.com.my/articles/Kaedahsekaranglapuk/Article

PPK ikon pendidikan khas orang pekak

KUALA LUMPUR: Kemampuan Pusat Pertuturan Kiu (PPK) di Kampung Pandan, di sini, membantu kanak-kanak pekak yang belajar di pusat itu bertutur seperti insan normal satu pencapaian membanggakan.

Kejayaan itu selayaknya menjadikan PPK sebagai ikon baru dalam dunia pendidikan khas untuk golongan pekak atau cacat pendengaran di negara ini yang perlu dicontohi pihak lain.

Apapun, hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memperakui kejayaan berkenaan terhadap kehidupan orang pekak di Malaysia.

Namun bagi Penyelia Pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kiu Pendengaran, Rohimah Alias, 50, pengiktirafan JKM itu memadai kerana ia membuktikan perjuangannya dan rakan di PPK sejak hampir 20 tahun lalu tidak sia-sia.

Katanya, tindakan JKM mengiktiraf kelas pendidikan untuk kanak-kanak prasekolah di PPK sebagai anak angkat dengan menjadikan ia cabang PDK untuk Kiu Pendengaran begitu bermakna.

Menurutnya, ia membawa kepada penubuhan PDK Kiu Pendengaran bertempat di No 7, Jalan Wirawati 8, Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur pada 2009.

"PDK Kiu satu-satunya PDK di negara ini yang dikhususkan bagi mengajar kanak-kanak pekak dan bisu mempelajari kaedah Kiu dan pusat ini di bawah seliaan JKM.

"Objektif utama penubuhan pusat ini bagi memahirkan kanak-kanak pekak dan bisu menguasai 3M iaitu menulis, membaca dan mengira serta mampu mengeluarkan vokal," katanya.

Menurutnya, kini PDK Kiu memiliki 26 murid berusia antara empat hingga tujuh tahun dan setiap murid disyaratkan memakai alat pendengaran sebelum diterima sebagai pelajar.

"Setiap ibu bapa juga disyaratkan mempelajari dan mahir Kiu supaya ia menjadi satu peringkat pembelajaran yang berterusan sepanjang masa dan tidak hanya dipraktikkan di sekolah.

"Subjek kurikulum yang diajar di PDK Kiu sama seperti diajar kepada kanak-kanak prasekolah iaitu Pendidikan Agama, Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Moral," katanya.

Rohimah berkata, kebiasaannya kanak-kanak pekak boleh mahir kaedah Kiu selepas tiga tahun berada di PDK Kiu dan usia terbaik untuk memulakan kelas adalah pada usia tiga atau empat tahun," katanya.

PDK Kiu memiliki lima sukarelawan termasuk dirinya yang bertugas mengajar dengan seorang daripadanya ialah bekas pelajar PPK iaitu Nurul Aishah Mohd Hisam, 20.

Nurul Aishah, seorang daripada bekas pelajar PPK yang kini mampu bertutur secara normal berkata, melalui pertuturan Kiu kanak-kanak dapat mempelajari bahasa dengan baik.

"Saya bersyukur kerana PPK membantu saya menjalani kehidupan seperti insan normal tidak seperti sebelum saya memasukinya. Kanak-kanak bermasalah pendengaran mempunyai masa depan cerah sekiranya mereka diberi pendedahan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/03
Sumber: www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PPKikonpendidikankhasorangpekak/Article/index_html

Komen blog dibangunkan oleh Disqus
Artikel ini menarik? Sila beritahu dunia!
Muka Depan  Pergi ke atas 
 
 
© 2004-2013 Pena Diam. Hakcipta Terpelihara. Pelawat Hari Ini: 48 | Pelawat Semalam: 99 | Jumlah Pelawat: 340330