Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam
NegaraKu versi bahasa isyarat
Oleh Amir Hamidi
19 Februari 2010
Lagu kebangsaan NegaraKu versi BIM boleh diakses di laman rangkaian video YouTube.

Negaraku,
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup, bersatu dan maju,
Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan,
Raja kita, selamat bertakhta,
Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan,
Raja kita, selamat bertakhta.

Lirik di atas merupakan lagu kebangsaan Malaysia. Maksud lagu kebangsaan ialah untuk membangkitkan semangat patriotisme kemalaysiaan serta menyeru rakyat agar bersatu padu dan mengejar kejayaan.

Apakah kaedah yang digunakan oleh warga Pekak sewaktu lagu kebangsaan dimainkan ataupun dinyanyikan? Sudah tentu, bahasa isyarat merupakan jawapannya yang telah diketahui umum.

Sewaktu zaman persekolahan, penulis dan murid-murid Pekak memainkan nyanyian lagu kebangsaan dengan menggunakan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) yang dahulunya dikenali sebagai Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT).

Dalam kaedah KTBM, lagu kebangsaan dimainkan dengan mengisyaratkan perkataan demi perkataan termasuk imbuhan dan kata dasar. Ini telah diamalkan seluas-luasnya di sekolah-sekolah kerajaan yang mempunyai kelas pendidikan khas untuk pelajar Pekak.

Tidak dapat dinafikan bahawa lagu NegaraKu versi KTBM didapati berbeza-beza antara sekolah-sekolah tersebut di negeri tertentu. Namun, jurang perbezaan tersebut dianggap kecil dan minima sekali.

Ia hanya melibatkan dua perkataan, misalnya "rahmat" dan "takhta" yang tidak terdapat dalam kamus BMKT Jilid Satu. Ketiadaan tersebut telah menyebabkan kod tangan yang baru dicipta melalui proses peminjaman kod tangan yang sedia ada.

Sebagai contoh, kod tangan "takhta" berasal daripada kod tangan "kerusi" dan diubahsuai dengan kod huruf "T". Ada yang dipinjam daripada kod tangan "atas" dengan kod huruf "T".

Perkataan "rahmat" mempunyai pelbagai kod tangan yang dipinjam daripada kod tangan yang tidak berkaitan seperti "tuhan", "rezeki", "langit" dan "beri" (arah berlawanan).

Terdapat sebilangan kod tangan yang bercanggahan dengan kamus BMKT seperti "tumpah" dan "maju". Hal ini diakibatkan oleh kesilapan pengujar yang tidak mematuhi tatacara penggunaan BMKT Jilid Satu.

Walau bagaimanapun perbezaan kod tangan tersebut tidak menjejaskan keseluruhan nyanyian Negaraku versi KTBM sungguhpun ia masih terikat pada struktur bahasa pertuturan rakyat, yakni Bahasa Malaysia.

Selain daripada versi KTBM, terdapat satu lagi versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang dikeluarkan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) atas kepercayaan bahawa lagu kebangsaan seharusnya dimainkan dengan menggunakan bahasa isyarat tulen yang digunakan oleh warga Pekak.

Projek NegaraKu versi BIM mula diusahakan pada tahun 2007 dan buat kali pertama diperkenalkan kepada warga umum pada tahun 2010 menerusi siaran klip video dalam laman rangkaian video secara dalam talian, YouTube (www.youtube.com/watch?v=6CNvL6DUUhc).

Seperti biasa, penulis diminta untuk memberikan pandangan dan membincangkan lagu kebangsaan versi BIM dalam tulisan ini. Ini hanyalah satu penilaian yang tidak muktamad tetapi begitu teliti.

Setelah kandungan klip video NegaraKu versi BIM diamati beberapa kali, penulis boleh mengatakan bahawa lagu kebangsaan tersebut masih baru dan boleh digunakan oleh warga Pekak yang ingin menyanyi mengikut cara hidup komuniti Pekak.

Hal ini sedemikian kerana kedudukan BIM setanding dengan bahasa pertuturan yang lain serta sentiasa berkembang dan dinamik sejajar dengan peredaran masa dan kemajuan kualiti hidup di kalangan warga Pekak.

Atas prinsip tersebut, penulis boleh menerima sebarang isyarat tangan yang dicipta asalkan ia membawa maksud yang dapat difahami secara jelas dan tepat oleh para pengujar bahasa isyarat.

Sungguhpun ia boleh dipakai terima, namun penulis akan membentangkan beberapa ulasan yang berikut dengan menarik perhatian kepada aspek ketepatan dan perbandingan antara maksud dan situasi yang sebenar dalam klip video lagu kebangsaan versi BIM.

Negaraku

  • Susunan isyarat tangan : "negara", "ku".
  • Isyarat tangan ini boleh diterima walaupun ia berlainan dan lebih kePekakan daripada isyarat tangan "negara" dalam kamus BIM.

Tanah tumpahnya darahku

  • Susunan isyarat tangan : "lantai", "tinggi secara membesar", "ku".
  • Ini digambarkan dan difahami oleh warga Pekak dalam bentuk visual bermaksud, "Di sini saya dibesarkan”.
  • Isyarat tangan "tinggi secara membesar" sebenarnya kurang tepat kerana frasa "tanah tumpahnya darah" lebih kuat bermaksud, "Di tempat ini saya dilahirkan".
  • Ia boleh digantikan dengan isyarat tangan yang baru agar bersesuaian dengan penekanan tersebut kepada tempat kelahiran ataupun isyarat tangan yang berlawanan dengan proses pembesaran.
  • Isyarat tangan "lantai" perlu dibaiki untuk meningkatkan perbezaan gambaran bervisual antara "tanah" dan "lantai".

Rakyat hidup

  • Susunan isyarat tangan : "orang", "sini".
  • Perkataan "hidup" diisyaratkan sebagai "sini" dan menghasilkan maksud yang berlainan, "Orang di sini dan di situ".

Bersatu dan maju

  • Susunan isyarat tangan : "bersatu", "peringkat".
  • Boleh diterima kerana maksudnya mudah difahami.
  • Namun isyarat tangan "maju" dari kamus BIM Jilid 2 lebih jelas gambarannya berbanding dengan isyarat tangan "peringkat" kerana maksudnya iaitu bergerak secara mara ke arah kejayaan dan bukan berada di tahap yang termaju.

Rahmat bahagia

  • Susunan isyarat tangan : "jemput", "gembira".
  • Isyarat tangan "jemput" bagi perkataan "rahmat" tidak seharusnya dimiripkan kepada perbuatan orang yang menjemput seseorang berdasarkan lokasi dan pergerakan tangan itu.
  • Ia perlu digantikan isyarat tangan lain yang membawa maksud secara tersurat, iaitu memohon keberkatan dan restu daripada tuhan untuk membawa kebahagiaan kepada negara.

Tuhan kurniakan

  • Susunan isyarat tangan : "langit" (tiada pergerakan), "beri".
  • Boleh diterima dan bertepatan dengan bentuk visual yang bermaksud, “Dari langit diberikan kepada semua”.

Raja kita

  • Susunan isyarat tangan : "Agong", "ku".
  • Pemilihan isyarat tangan "Agong" dianggap tepat sejajar dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong (The King) sebagai Ketua Negara.
  • Isyarat tangan "raja" dalam BIM dan BMKT adalah tidak perlu walaupun perkataan "raja" sebenarnya boleh merujuk kepada Sultan dan Raja selain daripada Yang di-Pertuan Agong.
  • Isyarat tangan "ku" seharusnya digantikan dengan isyarat tangan yang membawa makna "kita" atau "saya dan semua" dalam bentuk jamak.

Selamat bertakhta

  • Susunan isyarat tangan : "meletakkan sesuatu di atas kepala".
  • Ia memperlihatkan perbuatan seperti seorang raja sedang ditabalkan dengan mengenakan mahkota atau tengkolok pada kepalanya.
  • Isyarat tangan yang tunggal ini kurang relevan kerana di negara kita, tidak pernah diadakan acara rasmi mengenakan tengkolok di atas kepala seseorang raja dalam sesi istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dilakukan di sesetengah negara yang bersistem beraja.
  • Sebagai penggantinya, acara mencium kitab al-Quran, menghunus dan mengucup keris serta membaca warkah ikrar akan disempurnakan sebagai sebahagian daripada istiadat pertabalan kesultanan Melayu.
  • Berdasarkan hujah ini, isyarat tangan seperti itu tidak seharusnya diwujudkan dengan meniru istiadat pertabalan asing serta perlu digantikan dengan yang lebih sesuai dengan maksud "naik takhta".
  • Tambahan pula, perkataan "selamat" tidak wajar dilenyapkan dan hendaklah diisyaratkan untuk menggambarkan proses merajakan atau naik takhta dalam keadaan yang harmoni, aman dan lancar.

Pada keseluruhannya, lagu kebangsaan versi BIM yang diterbitkan oleh MFD boleh diterima oleh para warga Pekak walaupun ia mempunyai beberapa kekurangan yang telah diperincikan di atas.

Bagaimanapun kekurangan yang sedemikian tidak perlu dibetulkan ataupun ditambah baik sekiranya pihak MFD merasakan bahawa ia merupakan versi BIM yang terbaik dan mampu dinyanyikan oleh setiap warga Pekak.

Satu lagi keunikan yang terserlah dalam lagu kebangsaan versi BIM ialah penggunaan satu sahaja jenis bentuk tangan, iaitu tapak tangan terbuka sepanjang pengisyaratan lagu tersebut.

Ia berbeza dengan lagu kebangsaan Amerika Syarikat versi Bahasa Isyarat Amerika (ASL) yang kaya dengan pelbagai bentuk tapak tangan yang dipersembahkan. Lagu kebangsaan tersebut versi ASL boleh didapati dalam laman YouTube.

Secara peribadi penulis akan terus bersama dengan NegaraKu versi KTBM kerana ia masih relevan sepanjang zaman dan melibatkan kedudukan bahasa kebangsaan, Bahasa Malaysia yang perlu dipertahankan.

Walau bagaimanapun penulis amat mengalu-alukan mana-mana kumpulan yang berminat menghasilkan lagu kebangsaan NegaraKu dalam versi BIM yang akan berbeza dengan versi yang telah diluluskan oleh MFD.

Versi tersebut yang berbeza itu disarankan mempunyai potensi untuk memudahkan seseorang warga Pekak dengan keupayaan dan kebolehan tertentu dapat mengingati lirik lagu kebangsaan secara mudah melalui bentuk visual.

Menurut Ho Koon Wei, pakar pengkaji bahasa isyarat Pekak, di negeri-negeri di Amerika Syarikat terdapat pelbagai isyarat tangan versi ASL yang berbeza-beza untuk satu perkataan ataupun ungkapan yang sama maksudnya.

Pada hemat penulis, faktor tersebut telah memungkinkan pembentukan lagu kebangsaan versi ASL yang berbeza-beza dan digunakan baik secara rasmi mahupun tidak rasmi.

Contoh lagu kebangsaan versi ASL yang berkepelbagaian ditemui dalam laman rangkaian video, YouTube termasuk youtube.com/watch?v=A2zhJEyYwDo (lebih dicadangkan oleh penulis), youtube.com/watch?v=xLvlk2NUThU dan youtube.com/watch?v=6F7Czcaczpg.

Walaupun apa-apa dalam tulisan ini difikirkan sebagai satu perbezaan pandangan, peranan versi BIM dan versi KTBM sebagai kaedah komunikasi amat penting kepada komuniti Pekak di Malaysia dalam usaha membawa mereka terutama generasi muda Pekak menghayati keindahan lagu kebangsaan NegaraKu.

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 63
Pelawat Semalam: 268
Jumlah Pelawat: 115929
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.