Saadiah Ahmad mempersoalkan istilah KTBM.
E-mel yang diutus oleh seorang pendidik yang berjawatan pengetua telah menarik perhatian penulis. Beliau ialah Saadiah bt Ahmad, Pengetua Sekolah Kanak-kanak Pekak Selangor, Petaling Jaya.
Pandangan beliau telah disiarkan dalam ruang Debat Pembaca ini. Apa yang amat menarik ialah percanggahan antara KTBM dan BMKT yang dibongkarkan oleh beliau dalam salinan kertas kerja yang telah penulis terima baru-baru ini.
Dalam kertas kerjanya yang dikatakan pernah dibentangkan dalam beberapa seminar pendidikan, beliau mempersoalkan istilah KTBM kerana menurut beliau, nama kaedah komunikasi yang sepatutnya ialah BMKT (Bahasa Malaysia Kod Tangan) yang diterjemahkan daripada istilah Manually Coded Malaysia Language dalam bahasa Inggeris.
Pada tahun 1994, BMKT ditukarkan kepada KTBM (Kod Tangan Bahasa Melayu) oleh Unit Pendidikan Khas di Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan alasan bahawa ia lebih menekankan penggunaan kod-kod tangan Bahasa Melayu dan bukannya mengenai kod-kod bahasa Melayu.
Saadiah Ahmad menegaskan bahawa istilah KTBM tidak tepat sekali kerana ia akan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai Malay Language Manual Codes dan bukan Manually Coded Malay Language yang dipinjam daripada istilah Manually Coded English seperti Sign Exact English (SEE) di Barat.
Mengapakah hal ini sedemikian? Penulis bukanlah ahli penterjemah bahasa yang bertauliah. Bagaimanapun secara peribadi, penulis bercadang menterjemahkan Manually Coded Malay Language kepada “Bahasa Melayu Dikodtangankan” atau “Bahasa Melayu Berkod Tangan”. Ini terpulang kepada pertimbangan pakar bahasa masing-masing.
BMKT telah dibukukan dalam jilid yang pertama dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1985. Kulit depan buku itu bergambarkan isyarat tangan yang bermakna “kukuh”. Pada zaman persekolahan peringkat rendah, penulis dan semua murid Pekak diwajibkan membeli, memiliki dan membawa buku itu ke kelas bahasa Malaysia.
BMKT - koleksi kod tangan terawal
Saadiah Ahmad berhujah bahawa terdapat beberapa perbezaan dan percanggahan yang wujud antara BMKT dan KTBM. Secara mudah untuk difahami, BMKT merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk mengajar bahasa kebangsaan (bahasa Malaysia) dengan menggunakan kod-kod tangan di bawah prinsip Komunikasi Seluruh.
Buku BKMT - terbitan pertama.
BMKT amat menitikberatkan penggunaan bahasa Malaysia yang baku sehingga mengkehendaki seseorang mengisyaratkan imbuhan awalan, imbuhan akhiran dan kata sendi yang merupakan substruktur kepada pembentukan frasa dan ayat yang lengkap dalam bahasa Malaysia seperti yang ditulis dan dituturkan secara lisan.
Keunikan yang terserlah dalam BMKT ialah tatacara pengekodan tangan yang disediakan oleh Prof Dr Asmah Omar, pakar bahasa dari Universiti Malaya pada masa itu. Sesuatu perkataan seperti kata dasar diberikan kod tangan dan dijadikan kod kunci.
Seterusnya beberapa perkataan yang sama atau hampir sama maknanya akan diberikan kod tangan yang sama dengan dengan kod kunci tadi dari segi kedudukan, orientasi dan pergerakan tetapi bentuk tapak tangan berubah mengikut kod huruf pertama pada perkataan tersebut.
Sebagai contoh, kod tangan “cantik” sebagai kod kunci akan bersamaan dengan kod tangan “indah” yang berkod huruf “I”, kacak (berkod huruf “K”) dan rupa (berkod huruf “R”). Sistem pengekodan tangan ini bertujuan untuk menekankan penggunaan bahasa Malaysia melalui bahasa isyarat bukan semula jadi di samping memudahkan pembezaan perkataan yang berkod tangan.
BMKT merupakan himpunan kod tangan yang tersusun dan paling asas namun ia kekurangan perbendaharaan perkataan, iaitu 1,612 kod tangan. Untuk mengatasinya, kaedah ejaan jari digunakan bagi perkataan yang tidak mempunyai kod tangan dan penciptaan kod tangan dilakukan dengan meminjam kod kunci daripada perkataan yang difikirkan hampir sinonim.
Kemunculan KTBM
KTBM dipercayai diperkenalkan dan dibangunkan semula untuk menghapuskan sebahagian tatacara pengekodan tangan dalam BMKT yang dikatakan membebankan para penutur dari segi tenaga, masa, cara pengujaran dan pemahaman mesej visual dalam komunikasi rasmi dan perbualan harian.
Saadiah Ahmad dalam kertas kerja kajiannya menyifatkan KTBM sebagai kaedah komunikasi yang lebih menekankan penggunaan kod tangan sahaja berbanding dengan penggunaan bahasa dalam BMKT.
Daripada tinjauan penulis, terdapat dua buah buku rujukan KTBM yang dikeluarkan, iaitu KTBM edisi 1994 (terbitan pertama selepas BMKT) dan KTBM edisi 1997. Sebenarnya penulis jarang menatapi dan mempelajari kod-kod tangan daripada kedua-dua edisi tersebut kerana pada ketika itu, penulis bertukar ke sekolah harian biasa dan menyepikan diri daripada dunia Pekak.
KTBM edisi 1994
Tidak seperti BMKT, penulis berpendapat bahawa KTBM edisi 1994 telah membawa beberapa perubahan yang luar biasa seperti yang berikut.
- Semua kod dalam BMKT (jilid pertama) disatukan melainkan sekumpulan perkataan seperti hari, bulan dan imbuhan yang dikekalkan kod tangannya.
- Penyatuan tersebut dilakukan dengan menghapuskan tatacara pengekodan tangan dalam BMKT dan mewujudkan kod tangan yang tunggal bagi sekumpulan perkataan yang diklasifikasikan. Sebagai contoh, kod tangan “cantik” akan diterima pakai ke atas perkataan-perkataan seperti indah, permai, jelita, comel, kacak, sifat, wajah dan rupa tanpa perubahan kod huruf.
- Perkataan yang mempunyai lebih daripada dua makna akan diberikan kod tangan yang berasingan. Dalam kes ini, perkataan “perang” membawa dua makna, iaitu warna dan konflik bersenjata.
- Sebarang perkataan yang tidak wujud dalam perbendaharaan kod KTBM ini akan dikodtangankan secara ejaan jari.
Tidak menjadi kesilapan untuk mengatakan bahawa bersandarkan fakta kedua dan ketiga di atas KTBM edisi 1994 hampir menyamai konsep dan tradisi yang diamalkan dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dan terkeluar daripada prinsip asal dalam BMKT yang secara matematik mewajibkan setiap perkataan khasnya kata dasar akan bersamaan dengan satu kod tangan sahaja.
Buku KTBM Edisi 1994 (merah muda) dan KTBM Edisi 1997 (hijau).
KTBM edisi 1997
KTBM terus berevolusi secara pesat dan diperkaya dengan kod tangan baru yang lebih banyak ditambah, dicipta dan digubah. Ekoran daripada itu, KTBM edisi 1997 dilahirkan tiga tahun selepas KTBM edisi 1994 diperkenalkan.
Penerbitan KTBM ini diusahakan oleh Jabatan Pendidikan Khas yang telah dinaiktarafkan daripada Unit Pendidikan Khas, Bahagian Sekolah di bawah Kementerian Pendidikan pimpinan Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Menteri Pendidikan pada ketika itu.
Walau bagaimanapun penulis tidak menemui sebarang maklumat dalam buku KTBM edisi 1997 mengenai perubahan tatacara pengekodan tangan kecuali kata alu-aluan yang dicatatkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Khas.
Menurut beliau, kod, isyarat dan simbol yang ada perlu diseragamkan agar tidak timbul perbezaan dan kekeliruan di kalangan kumpulan pelajar dari daerah atau negeri yang berlainan.
Berdasarkan analisis ringkas yang telah penulis jalankan, beberapa penemuan penting dirumuskan seperti yang dijelaskan di bawah.
- KTBM edisi 1997 merupakan pelanjutan KTBM dan BMKT yang berobjektif untuk meningkatkan bilangan kod tangan yang baharu.
- Kod-kod tangan itu disemak, dipilih dan diselaraskan oleh panel yang melibatkan para guru pendidikan khas dan wakil-wakil Pekak dari beberapa persatuan orang Pekak seperti Kuala Lumpur, Kedah, Selangor dan Terengganu.
- KTBM edisi 1997 didapati berbeza dengan KTBM edisi 1994, iaitu tidak lagi memaparkan sekumpulan perkataan yang sinonim dan dikelaskan di bawah satu kod tangan.
- Boleh dikatakan bahawa prinsip pengekodan tangan tidak lagi tertakluk pada KTBM edisi 1994 dan kembali semula kepada BMKT.
- Sebagai contoh, kod tangan “bestari” dalam KTBM edisi 1997 diberikan kod tangan “pandai” dalam BMKT lalu diisyaratkan dengan kod huruf “T”. Begitu juga dengan kod tangan “biasiswa” (KTBM edisi 1997) yang diisyaratkan dengan kod huruf “W” dengan menggunakan kod tangan “tolong” dalam BMKT.
- Terdapat beberapa kod tangan yang lebih kePekakan namun tidak wujud dalam perbendaharaan isyarat tangan dalam mana-mana buku BIM sekarang.
Kesimpulan
Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa usaha-usaha dalam membangunkan dan mengembangkan BMKT, KTBM edisi 1994 dan KTBM edisi 1997 telah mendedahkan sesuatu yang boleh dikatakan tidak konsisten bersandarkan fakta-fakta di atas.
Pada hemat penulis, dicadangkan agar kajian semula, penyemakan dan penilaian diadakan untuk mempertimbangkan, menyeragamkan dan memuktamadkan prinsip-prinsip pengekodan tangan dan kaedah penciptaan kod tangan yang telah berusia lebih daripada sedekad.
KTBM disarankan menyerapkan dan berkongsi isyarat tangan yang sama daripada BIM serta beberapa prinsip pengujaran secara kod tangan hendaklah diubahsuai supaya lebih mirip dengan corak dan struktur tulisan dalam bahasa Malaysia.
Ditegaskan bahawa perbincangan ini hanya terfokus pada usaha memantapkan lagi penyebarluasan penggunaan bahasa Malaysia dalam kalangan warga Pekak dan menambah baik sistem pengujaran bahasa Malaysia melalui bahasa isyarat bukan semula jadi.