Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Pena Diam
KTBM dan BIM bersaudara?
Oleh Amir Hamidi
19 Julai 2009

Dalam politik tanahair, PAS dan Keadilan Rakyat dilahirkan sebagai serpihan daripada UMNO, salah sebuah parti politik Melayu yang terbesar di Malaysia. Kedua-kedua parti politik itu membentuk dasar ideologi yang tersendiri dan berkembang mengikut acuan masing-masing.

Hal ini diumpamakan dengan perkembangan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) dan BIM (Bahasa Isyarat Malaysia) dalam dunia Pekak di tanah air. BIM boleh dikatakan sebagai serpihan daripada KTBM dan kemudian dikembangkan bersesuaian dengan kebudayaan Pekak dan peningkatan kesedaran mengenai jata diri sebagai warga Pekak.

Adakah KTBM dan BIM dianggap bersaudara? Persoalan ini tentu menarik kerana kedua-dua bahasa isyarat itu hidup dalam satu dunia yang mencakup setiap ruang dalam segala arena termasuk pendidikan khas dan sosio-ekonomi.

KTBM dan BIM memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan Pekak menerusi pendidikan - (Gambar hiasan dan gambar ehsan dari SSD Kelana Jaya).

Sekiranya dikaji dari segi penggunaan perkataan, KTBM dan BIM mempunyai sebilangan kecil isyarat tangan yang sama seperti abjad, nombor dan kata-kata dasar yang paling lazim digunakan dalam kehidupan seharian seperti "makan", "minum", "duduk" dan lain-lain.

Mengikut kajian yang dibuat oleh pengkaji bahasa isyarat, prinsip utama untuk BIM ialah keunikan nahu dan tatabahasanya yang tidak berstukturkan bahasa pertuturan bukan Pekak seperti bahasa Malaysia dan tidak mempunyai isyarat imbuhan seperti "ber", "me", "di" dan "ke".

Penulis berpendapat bahawa penutur BIM sebenarnya tidak dapat mengelakkan diri daripada bergantung pada keperluan berbahasa Malaysia seperti dalam penggunaan KTBM. Hal ini lebih ketara dalam kalangan golongan Pekak yang terpelajar dan menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Mereka menerima pakai prinsip-prinsip KTBM secara minimum, iaitu menggunakan imbuhan dan ayat dalam bahasa Malaysia sewaktu bertutur dalam BIM. Secara peribadi penulis menyarankan proses ini dikenali sebagai "mengKTBMkan" BIM.

Bagaimanapun sebahagian besar isyarat tangan daripada kod-kod tangan dalam KTBM terutama edisi yang kedua dan seterusnya tidak diterima oleh kebanyakan warga Pekak pada hari ini kerana ia dikatakan sukar untuk diingat dan amat jarang digunakan.

Seperti yang diketahui kebanyakan isyarat tangan dalam KTBM direka oleh kumpulan pendidik bukan Pekak yang bukan sahaja lebih cenderung mengimport isyarat tangan asing seperti ASL (American Sign Language) bahkan juga mempunyai pengetahuan terhad mengenai kebudayaan Pekak dalam peringkat awal penubuhan kaedah Komunikasi Seluruh pada tahun 1970-an.

Hal ini barangkali bertepatan dengan jawapan kepada punca kegagalan KTBM yang tidak dapat berkembang secara kompetitif dalam cabaran pendidikan khas dan melahirkan BIM, serpihan yang lebih tulen, baharu dan mesra untuk warga Pekak.

Walaupun KTBM dikatakan semakin dipinggirkan oleh para warga Pekak selepas zaman persekolahan, sebenarnya KTBM masih dilihat amat relevan untuk digunakan dalam pengajaran bahasa Malaysia dan aspek-aspek yang terhad.

Perlu diadakan satu kajian semula secara menyeluruh yang melibatkan kerjasama bersepadu antara kumpulan intelek Pekak dan para pendidik khas yang berpengalaman untuk membentuk rumusan dan cadangan penambahbaikan terhadap KTBM yang dianggap bercelaru.

Persaudaraan antara KTBM dan BIM akan lebih bererti sekiranya sebahagian isyarat tangan dalam KTBM digugurkan, dikemas kini dan digantikan dengan isyarat tangan yang lebih bersifat kePekakan dan terdapat dalam kamus BIM yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, prinsip-prinsip pengekodan tangan dalam KTBM, misalnya cara menggunakan imbuhan dalam bahasa Malaysia hendaklah dikekalkan dan dipertahankan sejajar dengan semangat nasionalisme untuk mendaulatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Hal ini membolehkan para penutur BIM dapat mengggunakan prinsip tersebut sama ada sepenuhnya mahupun secara minimum untuk menyampaikan sesuatu maksud yang lebih jelas dan abstrak tanpa menghilangkan identiti Pekak.

Pada masa yang sama BIM seharusnya diseimbangkan dan diterima secara demokrasi sebagai alat pengajaran alternatif di sekolah-sekolah khas kerajaan sejajar dengan keperluan naluri warga Pekak sedunia yang ditakdirkan lahir untuk memahami pelajaran dalam bahasa ibunda, iaitu BIM.

Ini dipercayai merupakan satu-satunya titik persamaan yang akan dicapai sekiranya KTBM bersedia untuk ditransformasikan bersama BIM. Kehadiran BIM dan KTBM akan mewujudkan hubungan persaudaraan yang saling melengkapi untuk mendorong para warga Pekak menikmati komunikasi yang lebih bebas sekali gus menyemarakkan lagi perkembangan tamadun Pekak di Malaysia.

Justeru mereka akan bersemangat untuk menguasai bahasa kebangsaan (membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia) dan bahasa isyarat kebangsaan (perbualan seharian dalam BIM) serta membina keyakinan diri untuk mengejar dan menimba ilmu pengetahuan yang semakin banyak dan bernilai untuk mempersiapkan diri sebagai modal insan Pekak yang berjaya pada masa depan.

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 109
Pelawat Semalam: 208
Jumlah Pelawat: 106432
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.