Amir Hamidi Dalam Talian - Penulis Pekak
   
 
Gebang Kopi

Isyarat tangan "bagus" bersama Lim Anuar menandakan impian yang tercapai untuk menyaksikan perlawanan persahabatan antara Malaysia dan kelab Inggeris.

Bahang perlawanan Malaysia dan Manchester United
Oleh Amir Hamidi
21 Julai 2009
Penulis dan ramai peminat berarak ke stadium.

Skuad Malaysia telah bertarung dan akhirnya tunduk kepada gergasi kelab Inggeris ternama, Manchester United dalam kedua-dua perlawanan persahabatan sempena program Manchester United Asia Tour 2009 baru-baru ini.

Penulis turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil bersama kawan-kawan Pekak dan menyaksikan perlawanan pertama dan perlawanan ulangan.

Bahang kehangatan dalam perlawanan itu dirasai apabila "gelombang merah" yang dipancarkan dari baju penyokong menguasai keseluruhan ruang stadium itu.

Gelombang ini menolak dan memencilkan sejumlah kecil kumpulan penyokong Malaysia ke sudut yang kecil. Penulis tidaklah seperti mereka yang terlalu fanatik kepada kelab itu.

Dalam hati penulis, satu keajaiban diharapkan akan berlaku kepada skuad Malaysia untuk mengalahkan kelab Manchester United. Kesilapan demi kesilapan dalam mengawal bola telah menyempitkan peluang mereka untuk membuat kejutan yang bersejarah.

Pasukan United dan Malaysia masuk ke padang.

Kedua-dua gol yang dijaringkan oleh Amri, penyerang Malaysia dari Selangor dalam perlawanan persahabatan yang pertama lebih dianggap "gol nasib" yang disumbangkan oleh kesilapan penjaga gawang kelab itu yang dilihat lebih bersantai sahaja.

Kelima-lima gol yang dihasilkan oleh kelab itu datang daripada corak serangan yang pantas dan tersusun sehingga ia gagal dibaca oleh pemain-pemain pertahanan Malaysia.

Keseluruhan jumlah gol tersebut antara kelab itu dan Malaysia ialah 5-2, iaitu satu keputusan yang boleh dibanggakan berbanding dengan keputusan terdahulu (6-0).

Pasukan penyerang Malaysia mempunyai banyak kelemahan seperti bersikap teragak-agak dalam usaha menjaringkan gol serta sering kehilangan bola apabila berdepan dengan pemain lawan.

Penulis memilih Indra Putra Mahayuddin sebagai ikon yang paling menonjol dengan kelincahan dan ketekunan dalam usaha membantu meningkatkan ketajaman serangan Malaysia ke kubu lawan.

Merah dan biru (Malaysia) sedang memburu gol pertama.

Kelab Manchester United dilihat bermain di bawah tahap kekuatan dan keupayaan yang sebenar seperti yang dipersembahkan dalam Liga Perdana Inggeris.

Dalam erti yang lain, mereka percaya skuad Malaysia bukan lawan tradisi mereka dan boleh dibelasah dengan jaringan gol yang lebih besar walaupun asakan tidak perlu diperhebat.

Ramai peminat terhibur dengan kedatangan Michael Owen yang baru berpindah ke kelab itu dan telah berjaya melakukan misi dengan menjaringkan gol dalam perlawanan perlawanan pertama dan ulangan.

Walau bagaimanapun mereka menyedari skuad Malaysia telah memberikan tentangan yang agak sengit dalam perlawanan ulangan dan bertekad agar kesilapan daripada perlawanan pertama tidak akan berulang.

Hal itu telah memaksa mereka menunjukkan belang yang garang dengan melancarkan lebih banyak serangan tidak berhenti-henti walaupun mereka dilihat kepenatan. Namun begitu, mereka berpuas hati dengan dua kemenangan di gelanggang lawan.

Penulis dan Phillip Pong tidak ketinggalan hadir dalam perlawanan ulangan.

Kelab itu diyakini telah menyesuaikan diri dengan corak permainan Asia melalui perlawanan dengan Malaysia sebelum meneruskan pertarungan dengan lawan-lawan yang seterusnya seperti Korea dan China.

Sungguhpun tewas dalam sukan bola sepak, Malaysia tetap sebuah negara yang paling berjaya dan disanjung di dunia dengan kestabilan politik dan kegemilangan ekonomi.

Lebih menguntungkan apabila Malaysia diberi kepercayaan untuk mengadakan semula perlawanan ulangan atas faktor-faktor seperti di atas selepas perlawanan persahabatan dengan Indonesia dibatalkan.

Harapan penulis agar Malaysia akan bangkit untuk menjadi jaguh bola sepak dan berupaya menandingi mana-mana kelab Eropah pada masa depan.

Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Pautan CepatPenulis Blog Pekak Malaysia

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Pelawat Hari Ini: 112
Pelawat Semalam: 208
Jumlah Pelawat: 106435
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Dalam Talian. Hakcipta Terpelihara.