Amir Hamidi Online - Deaf Writer
   
 
Coffee Talk

Pemandangan di Hutan Rekreasi Sungai Congkak.

Mandi-manda di Sungai Congkak
Oleh Amir Hamidi
27 Julai 2009

Pada hujung minggu yang lepas penulis merehatkan diri daripada kesibukan dalam misi penyelidikan tesis sarjana dan berkesempatan untuk membawa keluarga penulis ke Hutan Rekreasi Sungai Congkak.

Tempat tersebut yang terletak di Hulu Langat dipilih untuk mengisi masa yang berkualiti bersama anak-anak bersandarkan dua sebab. Sebab yang pertama ialah keinginan penulis untuk menerokai dan menikmati kehijauan alam semula jadi di sungai itu yang sememangnya tidak pernah dilawati dalam diari hidup penulis.

Sebab yang kedua ialah penjelmaan semula kenangan isteri penulis yang pernah berkhemah di sungai itu sewaktu zaman persekolahannya dan juga mengambil air sungai sewaktu krisis air di Lembah Klang pada masa dahulu.

Catatan-catatan ringkas yang berikut bersandarkan pemerhatian dan tinjauan penulis sepanjang perjalanan dan perkelahan di Sungai Congkak.

  • Kira-kira 20 km diperlukan untuk meneruskan perjalanan dari Pekan Cheras Batu 9 ke Hutan Rekreasi Sungai Congkak menerusi Jalan Hulu Langat. Diambil perhatian agar memandu perlahan di kawasan kampung yang memang banyak di situ.

  • Hutan itu tidak mempunyai air terjun tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri, iaitu sungai itu amat panjang, tidak besar kelebarannya, cetek airnya dan berbatu-bata.

  • Ini menjadikan sungai itu sebagai tempat perkelahan yang paling popular dan menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari kota raya. Juga dikatakan selamat kepada kanak-kanak kerana mereka boleh bermain air di mana-mana bahagian berkedalaman cetek yang mudah dijumpai.

  • Sepanjang sungai itu terdapat tempat-tempat perkelahan dan kelompok chalet yang didirikan di kawasan persendirian. Ada yang dijadikan tapak perkhemahan untuk kegiatan rekreasi dan motivasi yang disertai oleh kelab dan rombongan murid sekolah.

  • Apabila tiba di tempat yang terakhir, pintu utama akan dijumpai. Tempat tersebut ialah sempadan kawasan yang dikenali sebagai Hutan Simpan Sungai Congkak di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

  • Setiap pelawat yang memasuki hutan itu akan dikenakan bayaran kemasukan sejumlah RM 1.00 termasuk kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke atas sahaja. Penulis sekeluarga dibenarkan memasuki laluan itu tanpa bayaran itu selepas menunjukkan kad pengenalan diri warga OKU kepada kaunter kemasukan.

  • Tempat letak kenderaan terletak di luar kawasan pintu utama itu dan dikenakan bayaran sejumlah dua ringgit sahaja. Terdapat kawasan persendirian yang menawarkan pakej yang menarik dengan mengenakan bayaran tertentu untuk penggunaan tempat letak sebuah kereta bersama pondok perkelahan yang disediakan.

  • Selepas memasuki hutan di sempadan kaunter kemasukan itu, terdapat beberapa zon perkelahan yang bermula dari pintu masuk itu hingga zon terakhir yang tidak penulis ketahui.

  • Penulis memilih zon perkelahan yang tidak jauh dari pintu masuk itu kerana zon yang seterusnya memerlukan tenaga dan masa untuk berjalan dalam jarak yang tidak dipastikan.

  • Di situ juga terdapat kemudahan perkelahan yang lengkap seperti tempat duduk, surau, tandas, dewan dan chalet untuk disewa. Kebersihannya agak memuaskan kerana hutan itu diuruskan dan disenggarakan dengan baik oleh syarikat swasta yang dilantik oleh kerajaan negeri.

  • Sungai itu lebih serupa dengan sungai-sungai perkelahan yang pernah penulis lawati di Perak, negeri kelahiran penulis walaupun air sungai itu tidaklah jernih.

  • Secara keseluruhan, ia masih merupakan antara destinasi perkelahan yang paling menarik di sekitar Hulu Langat dan diikuti oleh Sungai Gabai, Hulu Langat yang terkenal dengan air terjun.

Perkelahan di Sungai Congkak.

Rakaman aksi anak-anak penulis di Sungai Congkak.
Blog Amir Hamidi - Penulis Pekak

FaceBook

PSD

SOPMA

Quick LinksMalaysian Deaf Bloggers

BlogMalaysia.com

Valid XHTML 1.0 Transitional

Today's Visitors: 59
Yesterday's Visitors: 268
Total Visitors: 115925
 
© 2004-2010 Amir Hamidi Online. All Rights Reserved.