Pada tahun ini setiap universiti awam di seluruh negara ini mengadakan majlis konvokesyen masing-masing untuk meraikan kejayaan para graduan dan menyampaikan skrol ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran kepada mereka yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya.
Pada kali ini majlis konvokesyen di USM, Pulau Pinang dan UKM, Bangi telah menyaksikan penyampaian ijazah sarjana muda kepada dua orang graduan Pekak. Nama mereka tidak lagi asing dalam komuniti Pekak dan pernah dianggap ikon Pekak yang paling berjaya. Mereka ialah Lee Tur Chung dan Asmak bte Hj Asaari.
Kisah Asmak Asaari yang baru sahaja bergelar graduan USM telah diketahui umum menerusi laman web rangkaian sosial Facebook yang menyiarkan koleksi gambar beliau yang memakai jubah rasmi USM dengan segulung ijazah dan diraikan oleh keluarganya pada 15 Ogos yang lalu.
Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas dari USM dan juga pernah menerima diploma sewaktu menuntut di Kolej Islam Darul Ehsan Selangor (KISDAR) sebelum melanjutkan pengajian ke USM.
Penulis difahamkan bahawa beliau kini bertugas sebagai Pembantu Penyelidik (Researcher Assistant) di USM dan dijangka akan menerima tawaran pekerjaan sebagai guru Pekak.
Asmak mempergayakan diri dengan sekalung bunga bersama Amirul, suaminya.
Di Majlis Konvokesyen UKM yang kali ke-37, Lee Tur Chung menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran) daripada DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor baru UKM pada sesi pagi tadi.
Penulis dan Chai Wei Xiong, mahasiswa Pekak dari Fakulti Pendidikan turut hadir di halaman Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) untuk memberikan sokongan dan menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau. Pemberita dari The Star juga menghadirkan diri dan mengadakan temu bual dengan beliau.
Penulis dimaklumkan bahawa beliau bersama tujuh orang graduan OKU juga menerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan yang terdiri daripada hadiah berbentuk pingat emas dan wang tunai sejumlah RM 500 setiap orang. Anugerah ini dikhaskan kepada graduan OKU yang menunjukkan kecemerlangan dalam program pengajian dan bersih daripada tindakan tatatertib.
"Saya tidak menyangka saya berjaya menerima segulung ijazah hari ini. Inilah yang telah saya nantikan 13 tahun selepas tamat tingkatan enam," ujar Lee Tur Chung dalam mesej SMS kepada penulis.
Menurut beliau, kejayaan memegang ijazah sarjana muda merupakan sebahagian perjuangan yang telah tercapai dan diharapkan mampu melonjakkan beliau ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi guru Pekak yang berkelulusan ijazah sarjana muda. Sebelum itu, beliau merupakan lulusan Maktab Perguruan Ilmu Khas yang memegang Diploma Perguruan Malaysia (DPM) Pendidikan Khas.
Kini beliau bertugas di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Seksyen 17, Shah Alam. Sebelum melanjutkan pengajian ke UKM, beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor, Seksyen 18, Shah Alam selama lima tahun.
Lee Tur Chung dan Asmak Assari merupakan antara ikon Pekak yang paling hebat dan berhak untuk menggegarkan negara dengan memberitahu bahawa kekurangupayaan pendengaran bukanlah satu kad merah kepada keazaman golongan warga Pekak untuk mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam lapangan akademik.
Jurugambar The Star sedang menangkap gambar Lee Tur Chung yang berbahasa isyarat ketika ditemu bual.
Penulis telah lama mengenali keperibadian diri mereka. Lee Tur Chung merupakan pelajar pintar dan pemimpin pelajar yang tidak mudah putus asa setiap kali mendepani kegagalan sewaktu kami menuntut di FSD Pulau Pinang pada tahun 1990-an.
Asmak Assari juga merupakan bekas pelajar FSD Pulau Pinang yang sentiasa bijak mencari dan merebut peluang untuk memperlengkap diri dengan ilmu walaupun terpaksa mengharungi halangan dalam perjalanan ke menara gading.
Dengan berbekalan ilmu pendidikan khas yang ditimba dari universiti awam, mereka dituntut supaya menjadi pendidik yang terbaik dan berjiwa kePekakan untuk membimbing para pelajar Pekak ke arah menjadi modal insan yang berminda kelas pertama dan setanding dengan warga Pekak di negara-negara maju.
"Harapan saya kepada para pelajar Pekak agar mereka tidak cepat putus asa walaupun menghadapi cabaran dan halangan untuk terus belajar. Saya ingin melihat lebih ramai warga Pekak memiliki pendidikan tinggi yang setanding dengan orang biasa dari segi kerjaya, pendidikan dan sosi-ekonomi. Mereka merupakan sandaran utama kepada negara untuk memberikan sumbangan kepada negara dan komuniti OKU," kata Lee Tur Chung ketika menutup temu bual.
Tahniah kepada Lee Tur Chung dan Asmak Assari yang telah berjaya menjadi graduan Pekak tahun ini.